Tuesday, 15 December 2015

NOVEL

Assalamualaikum dan haiiii buat semua yang sudi melawat blog ini. Jom kita berkenalan dengan penulis seterusnya iaitu Kamariah Kamarudin. Di dalam buku Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis turut diselitkan novel karya beliau yang bertajuk Sebuah Syakirah. Kamariah Kamarudin merupakan pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia.




Novel Sebuah Syakirah

Novel ini mengisahkan tentang hubungan persahabatan yang terjalin antara Hanim dan Ikmal. Namun mereka terpaksa berpisah membawa haluan masing-masing dalam menyambung pelajaran ke luar negara bagi menuntut ilmu. Sebelum pergi ke luar negara menyambung pelajaran, Ikmal dan Hanim telah berjumpa dan dalam pertemuan itu Ikmal mengharapkan kata-kata semangat daripada Hanim buatnya namun Hanim tidak mengendahkannya yang membuatkan Ikmal terasa hati dengan sikap Hanim yang seakan tidak ambil peduli dan mengambil berat tentangnya. Hanim jadi keliru apabila Ikmal berubah menjadi dingin dan beremosi saat Ikmal menghantarnya pulang. Setelah seminggu Ikmal meninggalkan tanah air, Hanim menghitung hari tanpa menerima perkhabaran dari lelaki itu. Hanim juga menerima tawaran masuk ke universiti luar negara iaitu di Minden. Hal sebenarnya adalah Ikmal telah menelefon rumah Hanim sehari sebelum dia pergi namun tiada siapa yang menjawabnya. Oleh demikian, Ikmal telah meninggalkan pesanan kepada adiknya, Ilham supaya mengirimkan salam kepada Hanim. Sepanjang mereka berpisah, mereka saling mengingati antara satu sama lain namun disebabkan ego mereka berdua hanya mendiamkan diri. Dalam masa yang sama, ibu Hanim iaitu Hajah Syarifah memasang niat untuk menjodohkan Hanim dengan anak rakannya iaitu Ungku Zahrah namun ditahan dahulu niatnya demi kebaikan Hanim yang masih belajar. Suatu hari, Hanim membaca ruangan yang ditulis oleh A. Kadir Ahmad dalam ruangan majalah Mastika mengenai Sepuluh Cara untuk Mendisiplinkan Diri iaitu hendaklah bersyukur, ikhlas, amanah, bercakap benar, belajar, berusaha, bekerja dan beramal, sedarkan diri sendiri, merendahkan diri, kasihkan agama kita, ingatkan mati dan ingat dan memuji Allah. Bacaannya itu mengingatkannya kepada Ikmal. Di akhir cerita, Hanim masih terkilan sikap Ikmal yang melawan kehendak orang tuanya walhal itulah pegangannya selama ini dan bagi Hanim soal hati dan cinta bukan proritinya. 


SUMBER INSPIRASI YANG MENGILHAMKAN EMOSI DAN SENI DALAM TAKAH-TAKAH PROSES PENGKARYAAN

OLEH: KAMARIAH KAMARUDIN

Dalam proses pengkaryaan sesebuah karya sastera, tanpa mengira genre sastera, sama ada novel, cerpen, puisi atau dramaa, pasti setiap pengarang mempunyai sumber inspirasi yang tersendiri. Elemen sumber inspirasi penting bagi seseorang pengarang melakarkan proses pengkaryaan kerana ia menerbitkan bauran emosi yang akhirnya dapat diterjemahkan dalam bentuk seni dalam sesebuah karya satera. Justeru dalam hal itu, sepanjang Kamariah Kamarudin bergelut dalam dunia pengkaryaan, antara perkara yaang menjadi tunjang bagi seseorang penulisan dapatlah dikategorikan sebagaimana berikut:

1.  Langkah-langkah berkarya
      - Nawaitu
      - Iqra'
      - Tafakur
      - Tazakur
      - Qalam
    
2. Sumber berkarya
      - Pengalaman
      - Penyelidikan
      - Pergaulan
      - Penumpuan
      - Dorongan

3. Matlamat berkarya
      - Tajdid
      - Tarbiah
      - Fikrah
      - Tabaruk
      - Risalah
      - Khatimah













Paya Purnama Karya S.M Zakir




Sinopsis cerita Paya Purnama karya S.M Zakir

Cerita Paya Purnama menceritakan tentang watak “dia” iaitu penulis sendiri yang mengimbas kembali nostalgia lama yang telah dilaluinya semasa zaman kanak-kanak. Penulis mengemukakan dunia nostalgia yang menjadi tempat penting dalam sejarah hidupnya masa kecil. Di sebuah paya yang mempunyai mitos terdapatnya perahu Puteri Sadong itu merupakan dunia yang indah dan bermakna bagi dia. Di paya itu juga tempat dia dan dua orang sahabat karibnya iaitu Soh Chan Heng dan Hakim menempa zaman kanak-kanak yang bahagia. Baginya suasana paya yang sunyi, dipenuhi tumbuhan dan haiwan menciptakan sebuah suasana yang mengasyikkan. Selain itu, di paya itu juga tempat mereka menagkap ikan Sepilai untuk dilagakan. Dia selalu singgah ke paya itu apabila pulang dari sekolah. Dia merupakan yang paling nakal antara mereka bertiga. Dia suka membuli Hakim dan berlaku kasar terhadapnya. Namun, walaupun dia nakal dan kasar dalam perlakuan tetapi dia sebenarnya mempunyai hati yang baik. Contohnya, dia melawat Hakim yang sedang sakit. Mereka mampu membina persahabatan yang erat sehingga saling memahami antara satu sama lain dalam usia yang masih muda. Walau bagaimanapun, persahabatan mereka tidak kekal lama, kerana semasa di penghujung tahun tiga, dia terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke Pulau Pinang dan meninggalkan paya yang menjadi dunianya serta dua orang sahabat baiknya. Selepas itu mereka tidak pernah bertemu lagi. Setelah tiga puluh tahun, dia datang ke dunia paya iaitu tempat dia mengukir seribu kenangan indah. Rupanya dunia paya sudah tertimbus. Tertimbus bersama-sama sejarah yang cukup aneh. Dia tidak singgah ke rumah Hakim mahupun kedai ayah Soh Chan Heng. Dia mahukan persahabatan yang aneh itu kekal tetapi anehnya persahabatan itu tidak mewujudkan keinginan untuk bertemu. Benarkah dia pernah mempunyai sahabat semasa kecil yang bernama Soh Chan Heng dan Nik Danial Hakim ? Dia juga tidak pasti kerana ingatan di usianya yang terlalu muda itu samar-samar. Mungkin dia hanya mereka-reka cerita sepertimana yang selalu dilakukannya apabila menulis cerpen. Namun, hal yang paling diingatinya ialah lagu perpisahan yang dinyanyikan secara beramai-ramai.


Bagaimana cerpen Paya Purnama dihasilkan? Cerita dari Lubang Ingatan hasil tulisan S.M Zakir ada jawapannya. Saya akan cuba membincangkan tentang bagaimana penulis menghasilkan cerita Paya Purnama secara lebih terperinci berdasarkan Cerita dari Lubang Ingatan. Cerita dari Lubang Ingatan memperkatakan tentang pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh watak “dia” iaitu S.M Zakir sendiri selaku penulis dalam cerpen Paya Purnama. Melalui pengalaman masa lampau atau pengalaman pada zaman kanak-kanak S.M Zakir yang samar-samar, beliau telah menghasilkan cerita yang mampu mencuit hati setiap pembaca yang membacanya. Walaupun peristiwa yang diceritakan oleh penulis tidak dapat dipastikan dengan tepat secara keseluruhannya, namun penceritaannya sangat berkesan dan menarik.

Cerita dari Lubang Ingatan berdasarkan cerpen Paya Purnama karya S.M Zakir:
S.M Zakir telah dilahirkan di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan. Allahyarham ayahnya bekerja sebagai seorang guru. Memori zaman kanak-kanak beliau yang paling awal mungkin bermula di Kota Bharu kerana sewaktu beliau kecil mereka sekeluarga tingal di kuarters guru di Sekolah Merbau ketika berusia lima tahun atau enam tahun. Menurut Carl Gustav Jung, memori zaman kanak-kanak ketika berusia lima tahun disebut sebagai lubang ingatan iaitu kejadian-kejadian zaman infantik yang samar-samar dalam ingatan. Zaman infantik merupakan suatu bentuk psikiprimitif yang hilang daripada diri manusia. Ia kemudiannya akan muncul sebagai mimpi dalam bentuk kepingan-kepingan mitologi yang aneh. Walau bagaimanapun, mungkin zaman infantik yang dimaksudkan oleh Jung ialah zaman yang lebih awal dalam peringkat paling awal usia manusia. Maka sebenarnya tiada memori di situ kecuali psiki yang wujud dalam aliran bawah sedar.
            S.M Zakir telah memasuki alam persekolahan pada tahun 1976 di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Putera. Pada ketika itu usianya tujuh tahun. Oleh itu, hasil tulisan cerpen Paya Purnama ialah untuk menimba kembali kenangan-kenangan indah dunia kanak-kanak beliau. Antara kenangan beliau itu ialah termasuklah apabila bersama dua orang sahabat yang seusia dengannya, S.M Zakir bergayut pada kayu beluti yang menjadi tiang penggalas bangunan lalu menimpa kepalanya. Setelah itu, mereka sekeluarga berpindah ke sebuah rumah baharu di kawasan Paya Purnama. Paya itu akan menjadi terang setiap bulan purnama.
Selain itu, kenangan lain yang beliau ingat ialah apabila beliau merasa pasir jatuh berguguran dari pokok rambai yang besar di hujung pagar rumahnya yang berhampiran dengan paya. Walaupun pada zaman kanak-kanak beliau ditakutkan denan cerita-cerita hantu masyarakat Kelantan tetapi S.M Zakir tidak pernah mempercayainya. Kenangan di dunia paya yang menyoronokkan bagi S.M Zakir ialah apabila bermain di paya, mencuri-curi turun mereda semak dan bermain berseorangan di paya tersebut. Beliau tidak takut pacat dan lintah. Kenakalannya terserlah apabila beliau membakar mercun yang disuap dalam mulut katak sehingga meletupkan perutnya dan mengikat mercun di kaki kucing sehingga kucing melompat menggila dan membaling batu kepada anak anjing yang tersekat di lubang.
Dunia paya sangat istimewa bagi S.M Zakir. Ia bagaikan sebuah dunia yang terpisah daripada dunia sebenar di rumah dan kota saya. Suasana yang sunyi , dipenuhi tumbuhan dan haiwan menciptakan sebuah suasana yang mengasyikkan bagi S.M Zakir. Di paya itu, beliau akan melagakan ikan-ikan sepilai dan ikan pelaga, memanjat pokok dan dahan yang berjuntai sehingga ke tengah paya, melihat kiambang, kangkung, ikan-ikan malah ular yang ada di tengah-tengah paya. Ia juga menceritakan kedegilannya apabila setiap kali pulang dari sekolah dia akan melalui jalan paya dan tidak mengikuti kakak-kakak dan abangnya. Kedegilannya akan membuatkan adik-beradiknya dimarahi oleh ibu mereka.
Di sekolah pula S.M Zakir tidak mempunyai teman yang ramai dan lebih suka bersendirian. Walau bagaimanapun, akhirnya selama pulang berjalan kaki dari sekolah, beliau menjadi rapat dengan dua orang rakan sekelas yang sama-sama pulang berjalan kaki ke arah yang sama dari sekolah. Mereka ialah Soh Chan Heng dan Nik Danial Hakim. Persahabatan mereka aneh kerana walaupun S.M Zakir seorang yang agak kasar dalam perlakuannya tetapi Soh Chan Heng dan Hakim tetap ingin berkawan dengannya. Beliau selalu membuli dua orang sahabatnya itu atau menjadikan mereka adikung yang mengikut semua kehendaknya. Apabila Hakim merajuk, S.M Zakir akan segera mencari jalan untuk memujuknya, beliau akan meminta maaf  atau kadang-kadang juga tidak tetapi persahabatn itu bertaut kembali. Apabila salah seorang dari sahabatnya tidak ke sekolah, beliau akan berasa sunyi. Contohnya peristiwa semasa S.M Zakir tidak ke sekolah dan Hakim mencarinya dan begitu juga sebaliknya.
S.M Zakir sering mengajak dua orang sahabatnya itu untuk ke paya namun hanya Soh Chan Heng yang kadang-kadang mengikuti beliau kerana ayahnya akan memastikan Soh Chan akan balik segera dari sekolah untuk membantu di kedai mereka. Kalau pun Hakim pergi ke kawasan paya itu, dia hanya akan duduk di tepi paya sambil menunggu S.M Zakir siap bermain atau menyelongkar dunia paya yang digemari olehnya. Hakim seorang budak yang baik dan pembersih. Oleh sebab itu, dia jarang bermain di paya tersebut malah tidak akan melalui jalan paya sekiranya tidak dipaksa oleh S.M Zakir.
Setelah tiga puluh tahun berlalu, S.M Zakir menulis sebuah cerpen yang berjudul        “ Paya Purnama”. Beliau menghasilkan cerpen ini melalui lubnag ingatan di dunia paya. Selain itu, Paya Purnama juga adalah tentang cerpen alam persekolahan beliau dalam darjah satu di Sekolah Tengku Indera Putera bersama dua orang rakannya, Nik Danial Hakim dan Soh Chan Heng. Kedua-dua sahabat ini terputus hubungan setelah beliau meninggalkan tanah Kelantan ketika di penghujung darjah tiga dan tidak kembali lagi untuk menetap di situ. S.M Zakir meninggalkan Kelantan pada usia Sembilan tahun iaitu ketika berakhirnya usianya di darjah tiga. Hari terakhir persekolahan sebelum bercuti panjang, lagu “Bertemu dan Berpisah” dinyanyikan. Hati beliau sebak ketika menyanyikan lagu tersebut. 
S.M Zakir membesar di Pulau Pinang dan kemudiannya ke Selangor dan berkampung halaman di Bandar Baru Bangi. Setelah itu, beliau tidak pernah lagi bertemu dan mendengar khabar tentang dua orang rakannya itu. S.M Zakir menulis cerpen Paya Purnama dan membayangkan apakah kedua-dua orang ini benar-benar wujud atau cuma ilusi dari zaman kanak-kanak yang tercipta dalam jiwa bawah sedarnya. Beliau menikmati kenangan manis yang samar.
Cerpen Paya Purnama adalah sebuah dunia utopia yang datang dari lubnag ingatan. Ia wujud dalam kolaj-kolaj ilusi dan realiti yang bergaul. Selain itu, beliau melihat kepingan-kepingan metodologi  Jung dari lubang ingatan zaman kanak-kanak yang muncul menjadi mimpi-mimpi dalam dunia bawah sedar beliau. Maka S.M Zakir telah meletakkan tanda tanya sama ada Nik Danial Hakim dan Soh Chan Heng itu watak yang benar-benar wujud atau sebuah ilusi yang datang dari lubnag ingatannya. Oleh itu, S.M Zakir menyimpulkan bahawa cerpen “Paya Purnama” ialah kehidupan hanyalah sebuah mimpi. Apa yang pasti, cerita “Paya Purnama” datang dari lubang ingatan zaman kanak-kanak yang paling primitif.

Monday, 14 December 2015





Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah
Karya Mawar Shafie
`

Cerpen “Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah” karyaan Mawar Safie memaparkan cinta antara dua benua iaitu antara seorang wanita Malaysia dengan seorang lelaki kelahiran Lombok. Kartini merasakan bahawa dia telah belajar mengenali hidupnya dan memahami erti berbahagi sesama manusia setelah mengenali suaminya itu. Dalam cerpen ini Hanafi diperlihatkan sebagai seorang yang berilmu dan dan yakin dengan cita-citanya dan faktor itulah yang menyebabkan Kartini tidak teragak-agak untuk menerima Hanafi sebagai pendampingnya. Namun, perkahwinan antara Kartini dan Hanafi mendapat tentangan keluarga Kartini dan hubungan Kartini dan keluarganya masih renggang setelah berpindah ke Lombok mengikut suaminya. Hal ini dapat dibuktikan sewaktu Kartini mahu melahirkan anak pertama, ibu bapanya lebih mementingkan kenduri anak saudaranya, Umar yang hampir menjadi suami Kartini daripada terbang ke Lombok menyambut cucu pertama mereka. Tindakan ibu bapa Kartini ini jelas mempamerkan bahwa mereka masih tidak dapa menerima sepenuhnya kehidupan baru Kartini. Namun dapat dilihat menerusi watak Kartini yang berusaha untuk menghiburkan hati ibunya sewaktu berhubung dengan menceritakan tentang persekitaran kawasan kampusnya, keperibadian pelajar-pelajarnya termasuklah isu memartabatkan bahasa.   
             Di kampung suaminya, Perkampungan Senggigi, Kartini dan Hanafi telah membuka sebuah Resort Rumah Cinta yang mewujudkan pelbagai kebaikan kepada masyarakat sekitar seperti peluang pekerjaan dan pengenalan budaya setempat kepada masyarakat luar. Penulis turut memperkenalkan tentang bagaimana kawasan tersebut dikenali sebagai Pulau Seribu Kubah yang mana kawasan tersebut banyak didirikan masjid dan dihidupkan sepenuhnya.
            Disinilah watak Kartini dilihat telah mengenali makna kasih sayang antara saudara menerusi masyarakat sekitar Senggigi. Kartini juga memasang harapan setinggi gunung agar bahtera perkahwinaan yang dia sudah dirikan selama 10 tahun ini mendapat keredaan ibu dan bapanya.



..CINTA DAN CERITANYA..

Dr. Mawar Safie 

Dalam tulisan Cinta dan Ceritanya, Mawar Safie telah menceritakan tentang bagaimana cerpen Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah terbentuk menerusi pengalaman dan pemerhatian sepanjang bertapak di bumi Indonesia.Ilham penulis bermula ketika memnyertai kumpulan Kreativiti Minda Melayu- Jawa dibawah Geran Universiti Penyelidikan (GUP) yang diketuai Dr. Noriah Mohammed. Kumpulan ini telah membuat penelitian di Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta, diikuti Universiti Udayana, Pulau Bali dan diakhiri di Universiti Sebelas Maret di Solo. Penulis telah menggunakan sepenuh peluang ini dengan membuat pemerhatian terhadap masyarakat sekeliling dan pelabagai kenangan manis tercipta dalam diari kehidupan penulis. Perjalanannya ke Lombok bersama Dr. Noriah telah membuka ilham yang mencurah-curah kepada penulis dalam membentuk cerpennya. Pada ketika ini penulis sempat berkongsi plot cerita dan menyimpan catatan serta berbahagi cerita dasar cerpennya dengan Dr. Noriah. Penulis menceritakan tentang bagaimana Dr. Noriah menerima jalan cerita awalnya sebelum menelusuri perjalanan ke Lombok, Perempuan Malaysia mengenali lelaki Lombok. Mereka berkahwin dan meneruskan kehidupan di kampung halaman suaminya. Sampai di Lombok penulis telah mengutip satu ilham di Lapangan Terbang Selaparang dan perkmpungan Hairi, si lelaki Lombok. Perkampungan Hairi telah diimaginasikan sebagai satu perkampungan yang didiami oleh watak Hanafi dalam cerpen cinta ini. Selanjutnya, penulis turut merasai pengalaman menyambut Aidil adha di kawasan kejiranan tersebut dan tidak dinafikan ia satu pengalamn yang sangat bermakna dlaam hidup penulis. Dalam cerpen ini, penulis ada memuatkan upacara korban yang dijalankan oleh keluarga Hanafi yang dikaitkan dengan pengorbanan Kartini ke kampung halaman suaminya itu.
            Setelah selesai urusan di sana, penulis telah dihantar ke pantai Senggigi, Mascot Beach Resort dan penulis mengamati pulau misteri tersebut terdapat banyak masjid yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz serta warna. Maka tidak hairanlah bagi penulis tentang kewujudan nama Pulau Seribu Masjid ini setelah mendengar sendiri daripada Dr. Silfia Hanani Syafie. Pengalaman ini sedikit sebanayak memberi cetusan idea untuk penulis untuk dimuatkan dalam karyanya yang mana penulis menjadikan latar tempat masjid sebagai tempat tumpuan dan pengikat kasih sayang dalam latar masyarakat dan tempat dalam novel tersebut Sekembali daripad lawatan tersebut, penulis sempat mengutip ilham sewaktu menunggu pesawat dimana penulis telah memerhati sepasang keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu, cucu dan anak perempuan mereka beserta seorang lelaki dewasa. Pemerhatian penulis terhadap kelurga ini telah mencetuskan ilham terhadap bentuk keluarga dalam cerpenya yang merujuk kepada Kartini, anaknya iaitu Timour, ibu dan ayahnya serta suaminya, Hanafi.


  • Bagaimana dengan pemilihan watak Kartini dan Hanafi??
Watak Kartini merupakan inspirasi daripada sahabat penulis sendiri yang merupakan seorang pensyarah Politik Antarabangsa dan latar asal keluarganya pula dari Indonesia yang mempunyai perwatakan yang tegas. Penulis ada membuat sedikit pengubahsuaian dalam watak Kartini dan

Hanafi disebabkan pengaruh dalam diri penulis. Watak Hanafi? Penulis mengenali tiga orang Hanafi selama bernafas di muka bumi ini. Pertama adalah pensyarah UKM iaitu Dr. Hanapi Dollah, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hanafi Ibrahim dan anak murud penulis sendiri, Hanafi Jamaludin. Penulis tidak menafikan bahawa nama Hanafi mempunyai aura Melayu dan Islam dan seterusnya melahirkan unsur harmoni dalam rentak nama Kartini dan Hanafi.


  • Bagaimana dengan judul cerpen?
Judul cerpen ini dipengaruhi oleh perbualannya dengan Dr. Silfia Hanani tentang gelaran yang diberikan pada pulau ini. Pada catatan awal penulis, tajuk awal cerpen ini adalah “ Narasi Cinta Pulau Seribu Masjid”. Namun penulis gemar bermain dengan unsur perlambangan lalu mengambil keputusan untuk menukarkan perkataan masjid dengan kubah. Penggunaan pantun pada permulaan cerita pula memberi petunjuk kepada tema jalan cerita yang tersirat iaitu sesuai dengan konflik Lombok dan konflik antara Hanafi dan Kartini. Cerpen ini merupakan cerpen berkisahkan cinta.

            Dalam tulisan Mawar Safie ini ada meluahakan dalil yang mana dalam penghasilan sebuah karya kreatif, karya genre cerpen menuntut banayak sisi. Selain daripada pengalaman, pembacaan dan imaginasi, hasrat pemikiran juga boleh disampaikan menerusi pertukangan karya kreatif.  

Friday, 4 December 2015




Homosektual

Faisal Tehrani

Cerpen ini mengisahkan seorang lelaki yang dikenakan tahanan di dalam penjara kerana dituduh seorang pengamal heterosektual iaitu memegang pandangan daripada pelbagai mazhab dalam agama. Di dalam penjara tersebut, dia ditempatkan dengan seorang pemuda yang mengamalkan heteroseksual. Heteroseksual dengan heterosektual merupakan perkara yang begitu berbeza dan telah dijelaskan oleh pengamal Heterosektual kepada pengamal homoseksual itu iaitu Haizam. Sebulan duduk di dalam sel yang sama telah memberikan Haizam input mengenai diri rakan banduan sebiliknya itu. Haizam masih keliru kerana terdapatnya sistem yang anti kepada penganut supramazhab kerana berbilang mazhab telah diiktiraf di negara-negara lain dan dia juga beranggapan bahawa hanya tindakan undang-undang dikenakan kepada penganut fahaman liberal. Homo Islamicus menerangkan kepada Haizam mengenai pembezaan orentasi seks dan perilaku seks menurut pandangan pengamal heterosektual. Dalam Islam versi heterosektual, orentasi seks apa-apa pun dibenarkan malah difahami wujudnya dan selagi tidak melakukan hubungan sejenis, Islam tidak akan menghukumnya. Homo Islamic mendedahkan juga mengenai perbezaannya dalam pandangan daripada pelbagai sekolah pemikiran di dalam Islam. Hal ini demikian kerana, hanya satu mazhab atau hubungan mazhab sejenis yang diizinkan di dalam negaranya. Haizam ditangkap kerana menulis sebuah karya mengenai menolak homosektual tetapi menyokong homoseksual. Homo Islamicus pula ditahan kerana menyatakan pandangannya yang dia merupakan seorang heterosektual dan mencari pandangan terbaik dalam mazhab-mazhab Islam. Ternyata mereka berdua mempunyai pandangan yang sama mengenai pengamal homosektual dan berasa tidak berpuas hati dengan tindakan yang mereka alami. Homo Islamicus menegaskan bahawa penguasa homosektual mahu satu  mazhab atau sekta yang dibenarkan untuk menentukan cara hidup manusia. Sejak merdeka lagi, rakyat telah ditakluk dengan satu sekta yang dinamakan homosektual.

Model Supramazhab Sastera Islam

Faizal Tehrani

Dalam menghasilkan sebuah sebuah cerpen yang mempunyai pandangan mazhab di dalam Islam, Faizal Tehrani telah berhadapan dengan beberapa tuduhan yang mengatakan bahawa dia mengajak pembaca kepada akidah yang sesat. Namun begitu, penulis tidak mudah goyah dengan tuduhan orang ramai kerana beliau yakin dengan pegangan yang cuba diutarakan. Semasa proses membuat cerpen berunsurkan Islam, penulis telah menggunakan Al-Quran sebagai sumber rujukan utama ataupun panduan untuk mengetahui hukum Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W juga merupakan sumber utama dalam penulisan beliau kerana Allah S.W.T telah berfirman mengenai rasul-rasul diutus sebagai berita gembira dan pemberi ingatan supaya tiada yang membantah Allah S.W.T. Warisan keluarga Rasullulah S.A.W iaitu warisan ahlul bait, khususnya Saiyidina Ali terdapat banyak bukti menunjukkan alam Melayu sangat berpengaruh dengan pandangan ahlul bait.
Sebagai seorang comparatist, beliau ternyata tidak menyembunyikan kedudukan sebagai pembanding dalam dunia akademik dan beliau akan melakukan hipotesis kepada tiga aspek iaitu tema, metodologi dan masalah. Sebagai pembanding, beliau yang menulis karya kreatif telah menjadikan Islam supramazhab sebagai tema manakala, al-Quran, sunnah dan warisan ahlul bait dijadikam sebagai metodologi. Tujuan akhir perbandingan beliau ialah bertujuan untuk menyediakan satu resolusi supramazhab yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat dan kehidupan manusia menerusi karya sastera.
Cabaran dalam usaha menerapkan model supramazhab ialah terhalang apabila peranan Islam di Malaysia yang telah memusatkan perhatian kepada “fiqah sebagai aspek legal ajaran Islam”. Model ini mendapat tentangan graduan agama kerana sering diragui, dan dilihat dengan penuh prasangka oleh birokrat sastera yang tiada latar belakang agama. Cabaran seterusnya ialah, melalui birokrat sastera iaitu panel, editor, pentadbir sastera yang dimomok-momokkan dengan fatwa sesat dan hal ini dengan mudahnya menyebabkan agamawan menentang supramazhab.
Sikap sosial oleh masyarakat juga merupakan satu cabaran kerana pengamal dan birokrat sastera seakan meminta pengarang luar disiplin sastera tulen meninggalkan sama sekali pengalaman disiplin mereka sendiri dan semestinya tidak adil bagi beliau kerana beliau merupakan seorang pengarang yang luar daripada disiplin sastera.
Masyarakat perlu berfikir waras supaya masyarakat sastera berfikiran waras dan dalam dunia sastera memerlukan keterbukaan, institusi agama memerlukan kritikan dan pembaca sememangnya inginkan kelainan.
Dapat dilihat juga mengenai hal Hamzah Fansuri yang dihalang daripada menyeberang zaman dan masa sehingga masyarakat masih mengenalinya hari ini meskipun seorang mufti kerajaan Acheh pernah memfatwakan karyanya sesat dan wajar semuanya. Sikap sosial masyarakat kini ternyata menentukan sejarah masa hadapan.

Beliau mengharapkan keterbukaan dalam menyediakan solusi agama supaya menyerap masuk dalam sastera Islam tempatan. Hal ini demikian kerana, dunia pada hari ini menerima kecaman budaya, agama dan latar yang membentuk kepelbagaian dalam apa jua aspek dan lapangan. Beliau berpendapat bahawa dunia sastera telah menjadi bidang metadisiplin dengan interfalsafah. Oleh sebab individu yang menyertai membawa sama wacana bidang asal mereka, penggiat dan elitis sasteralah  perlu menyiapkan diri untuk menerima wacana dan kerecaman dalam dunia penulisan ini.

Wednesday, 4 November 2015

CERPEN

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada saudara-saudari yang sudi melawati blog kami ini. Dalam buku Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis,  memfokuskan kepada tiga genre yang melibatkan tiga genre, iaitu prosa daripada gabungan cerpen dan novel, puisi dan drama. Setiap bab tersebut diwakili oleh karya penulis diikuti dengan rencana proses penghasilan karya berkenaan.

CERPEN: Dia Bukan Anak Mangsa Perang
               Aminah Mokhtar



Cerpen ini mengisahkan mengenai seorang kanak-kanak yang bernama Siti Mariam yang telah meninggal dunia akibat daripada nafsu serakah ayahnya sendiri yang telah  menyebabkan dia mengandung. Kematiannya itu dituntut oleh Tun Fatimah agar disemadikan tempat yang sama dengan anak-anak mangsa perang iaitu di Dataran Lara Anak Dunia- DLAD. Walaupun Siti Mariam bukanlah anak dari mangsa peperangan. Namun begitu, tuntutan Tun Fatimah tidak dipersetujui kerana kematian Siti Mariam bukan kerana peperangan. Siti Mariam tidak layak untuk disemadikan di dataran peringatan dunia.

Bagi Tun Fatimah, walaupun Siti Mariam bukanlah anak mangsa peperangan kematian itu adalah kematian yang suci. Bagaimana kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun yang menjadi nafsu serakah ayahnya sendiri. Kematian Siti Mariam begitu suci, walaupun cara kematiannya bukanlah kerana peperangan.

"Tun Fatimah mendakap mayat Siti Mariam yang masih hangat. Hanyir air tetuban dan lendir selaput uri kering di hujung jarinya. "Ya, dia bukan anak mangsa perang, tetapi mangsa serakah daripada bapanya yang haiwan." Dia tunduk hiba, menghapuskan sebak di dadanya, "Persemadiannya di daerah sendiri. Lara dan azabnya tidak bertaraf dunia."


Proses Kreatif Penghasilan Cerpen
Aminah Mokhtar

Aminah mokhtar merupakan seorang penulisan kreatif yang berkerja sebagai jururawat. Beliau telah mengaplikasikan kerjayanya sebagai jururawat untuk meghasilkan karyanya. Beliau menulis berdasarkan daripada apa yang dipandang dan apa yang dirasa tentang khalayak. Bagi beliau fikiran dan perasaan merupakan dua eleman yang tersangat penting dalam berkarya.

Di dalam teknik pengkaryaan yang digunakan oleh Aminah Mokhtar, beliau telah mengunakan teknik transformasi atau teknik pemindahan yang dibahagikan kepada berikut:

(1) Transformasi pengertian dan struktur kepada cerita.
(2) Transformasi cerita kepada tulisan.

(1) Transformasi Pengertian dan Struktur kepada Cerita

Aminah Mokhtar mengaggap cerpen merupakan suatu catatan yang berbagai-bagai suasana dan peristiwa lalu, masa kini dan impian masa depan. Elemen ekonomi, politik, sosial dan sejarah diterjemahkan dalam pandangan, pengertian dan pendekatan yang amat luas. Beliau juga tidak membahagikan mengikut batasan waktu, baginya suasana masyarakat banyak memberinya ilham. Sebelum menulis beliau selalunya perlu mengetahui terlebih dahulu, struktur sesebuah cerpen yang mahu ditangani oleh beliau.

(a) Tema
(b) Latar tempat, masa dan peristiwa
(c) Perwatakan
(d)Teknik penceritaan
(e) Plot
(f) Sudut pandangan
(g) Dialog
(h) Sensitiviti
(i) Persepsi
(j) Kreativiti

(2) Transformasi Cerita kepada Tulisan

(a) Sumber Cerita
Sumber cerita kebiasanya daripada pengalaman sendiri, pengalaman orang terdekat dan orang lain yang tidak dikenali. Selain itu, sumber cerita juga berdasarkan daripada pembacaan, misalnya pembacaan dari kisah hidup seseorang. Tragedi masa lalu, masa kini dan kebarangkalian masa depan. Isu-isu kotemporari seperti peperangan, keruntuhan akhlak remaja dan sumber dari tontonan juga turut menyumbang. Media elektronik, seperti warta berita, propaganda kerajaan, hiburan, kisah realiti, drama atau rancangan dokumentari seperti The National Geographic turut sama menyumbang dalam mencari sumber cerita.

(b) Sumber Penghayatan

Dalam sumber penghayatan, Aminah Mokhtar memastikan beliau arif tentang isu, persoalan dan perkarabyang mahu ditulis olehnya. Kebiasaanya beliau akan menulis sesuatu yang lebih dekat dengan dirinya, sebelum menulis isu yang lebih besar dan jauh. Bagi Aminah Mokhtar dalam proses mengumpul ungkapan demi ungkapan untuk dijadikan baris demi baris dan seterusnya menyiapkan naskhah dan ia menuntut kemahiran tersebut:


  • Lihat. Dengar
  • Difikir. Dirasa
  • Diperam, di hati, di fikiran
  • Penghayatan dan peluahan perasaan
  • Membaca dan membaca semula
  • Menulis dan menulis semula dan semula

Beliau juga telah membina rasa sensitif dengan cerita-cerita di sekeliling. Tugasannya sebagai jururawat juga banyak membantu. Dengan itu, beliau banyak berurusan dengan jiwa dan pelbagai ragam manusia. Oleh itu, secara langsung beliau telah menjadi pengkaji tentang jiwa manusia;

(i) Melalui jiwa dan pelbagai ragam manusia beliau teroka, analisis, jiwai kemudian ambil iktibar atas      segala kebaikan dan keburukan yang dilihat.
(ii) Meneliti susunan kebudayaan masyarakat dan mengambil perjuangan masyarakat luar yang boleh       memberi inspirasi.
(iii) Mengkaji hubungan murni antara etnik. Kemudian diberikan pendekatan yang lebih hidup, lebih        berjejak dan lebih memberi wadah.
(iv) Beliau juga mengadun persoalan-persoalan masa lalu, masa kini dan masa depan. 

  • Masa lalu

    Kemiskinan, kemelaratan hiduo orang-orang Melayu sebelum zaman kemerdekaan. Selain itu,            melihat perjuangan yang jitu, tidak sanggup melihat bangsa sendiri dijajah dan bersatu menuntut         kemerdekaan.

  • Masa kini

Pengisisan kemerdekaan yang belum terisi sepenuhnya, beliau melihat penyakit masyarakat pada masa kini lebih bahaya dari serangan Jepun dan Portugis-Belanda.


  • Masa depan

Sesuatu tindakan yang dilakukan kini dan memberikan impaknya pada masa depan. Beliau menghimpunkan kesemua cerita dalam hati dan fikirannya. Sehingga tiba waktu dan ketika, isi itu akan diluahkannya. Kebiasaanya beliau menulis di saat hati dan jiwa sedang hanyut kerana pada waktu itu tuk minda sudah terbuka untuk menerima kata-kata indah dan curahan rasa dari hati. Ketika menulis saringan pertama, beliau tidak memikirkan soal logik dalam konteks sebagai karya sastera. Beliau hanya memastikan perwatakan tokoh mesti didasari latar yang kukuh. Misalnya:

(i) Dalam melukis watak-watak sufi, perjuangan-perjuangan ekstrem, psycho maniac dan pelbagai          watak yang berinteraksi dengan diri sendiri, dengan tuhan dan dengan masyarakat sekeliling                melalui pendekatan jiwa dan pemikiran sanh watak, tanpa menyelitkan campur tangan penulis.

(ii) Beliau juga seorang pemikir yang penat, iaitu seornag yang memikirkan cara yang paling                    bijaksana untuk memberikan cerita kepada watak-watak.

(iii) Bagi menghasilkan produk seni yang indah dan baik, beliau juga begitu berhati-hati dan cermat        dalam membina konflik antara watak dengan watak, watak dengan diri sendiri, watak dengan              keluarga dan watak dengan masyarakat.

Monday, 26 October 2015

BIODATA MAWAR SAFEI







Entri kedua ini memaparkan latar belakang penyelenggara buku Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis iaitu Prof. Madya Dr. Mawar Safei 

Mawar Safei telah dilahirkan pada 27 Februari 1971 di Singapura. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Singapura dan Johor Bharu, kemudian telah melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada tahun 1995 dan Sarjana Sastera, 1997 di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, beliau melanjutkan Sarjana Doktor Falsafah dalam bidang kesusasteraan bandingan di Nanyang, Technological university, Singapura pada tahun 2006.

Beberapa tulisan akademik beliau terbit dalam jurnal dan majalah serantau. Beliau merupakan pengulas cerpen Dewan Siswa sejak tahun 2007 hingga kini. Antara buku terbaru beliau ialah Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis (ITBM, 2015) dan Inilah Karangan Saya: narasi Penciptaan Cerpen (UKM, 2014). Beberapa kumpulan cerpen beliau ialah Zel (1998), Montaj II (2002), Masitah (2007,2009) dan Narasi Gua dan Raqim (ITBM 2014).

Beliau juga telah menerima banyak pengiktirafan, antara pengiktirafan yang telah diterima ialah menerusi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank atau Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Darul Takzim. Kini beliau merupakan Profesor Madya dan ketua editor Jurnal Melayu 2013-2015 di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengkhususan beliau adalah dalam sastera dan penulisan kreatif.




Buku Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis oleh Mawar Safei merupakan buku yang akan diulas oleh kumpulan kami pada entri-entri yang seterusnya. Oleh itu, nantikan entri-entri yang berikutnya mengenai kepengarangan 12 penulis di dalam buku ini.

TINTA PERKENALAN

Assalamualaikum..

Tinta perkenalan buat semua pembaca blog ini.
Kami membuat blog ini adalah untuk menjayakan tugasan kursus SKMM 2083 Penulisan Kreatif di bawah pimpinan pensyarah kursus Prof. Madya Dr. Mawar Safei. Kami terdiri daripada sepuluh kuntum bunga iaitu:

1. Nurshazeera Binti Khazri
2. Nurhanani Nazurah Binti Maisin
3. Melur
4. Nor Hidayah Binti Abas
5. Nor Farah Hanim Binti Ahmad
6. Nor Fazilah Binti Jahudin
7. Nurul Ain Binti Mohd Nazri
8. Nurul Antari Binti Fadjarrudin
9. Siti Nurfatin Izzaty Binti Ahmad Izham
10. Wan Jazmina Zakirah Binti Jamil.




Kumpulan kami telah diberi tugasan untuk membedah buku yang telah diberikan oleh pensyarah kursus iaitu Kreativiti 3 Genre: Kepengarangan 12 Penulis . Kami akan mengulas setiap bab dalam buku tersebut yang telah menghimpunkan karya pilihan 12 orang penulis yang diselenggara oleh pensyarah kami sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Mawar Safei. Jika saudara dan saudari ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang 12 orang penulis yang terpilih ini, nantikan di entri kami yang seterusnya. Tunggu!