Saturday 19 December 2015

PUISI: Doa Puisi Si Fakir
Rahimidin Zahari




Aku tidak tahu
apa yang sedang aku cari
dan yang kuinginkan
daripada beribu buku
yang kubuka dan tekuni
hingga ditemukan aku
dengan seorang lebai Jawi
setiap kali kurapati
dijamunya aku dengan ilmu
yang menghadiahkan aku
dengan kamus al-Marbawi
dan berkali-kali
dipesannya, pelajari Iqhbal
dalami Inggeris dan Arabi
kerana disanalah 
berkilaunya mutiara ilmu.


Saya Sebagai Penyair
Rahimidin Zahari





PENGENALAN

Rahimidin Zahari dilahirkan di Becah Keranji, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. Membesar dalam kehidupan kampung yang berlatar belakangkan sawah padi dan kebun getah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Becah Keranji. Kehidupannya sederhana bersama keluarga.

Diceritakan kehidupan seharian beliau, setiap petang selepas pulang dari sekolah, ibunya akan menghantarnya mengaji al-quran di madrasah yang tidak jauh dari rumahnya. Beliau suka membaca iaitu membaca buku apa sahaja yang difahami bahasanya. Misalnya, dari kitab-kitab jawi karya Tuan Tabal, Sheikh Daud Al-Fatani, Sheikh Wan Ahmad Fatani, Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani, Imam Al-Ghazali dan pelbagai lagi bahan bacaan yang dibaca. Setiap apa yang dibaca oleh beliau, akan ditelitinya dari baris ke baris. Beliau juga mengikuti pelbagai kuliah agama, tafsir al-quran dan hadis di Kota Bharu.

KECENDERUNGAN MENULIS PUISI

Rahimidin Zahari begitu meminati dunia sastera. Hasil daripada minat beliau membaca dan membaca itu akhirnya telah mendetikkan hatinya untuk menulis. Beliau tidak menganggap dirinya sebagai penulis sufi. Baginya proses pembacaannya yang tidak pernah berhenti seperti membaca karya-karya Hafiz, Rumu, Attar, Iqbal, Khayyam dan lain-lain karya penulis Islam. Beliau begitu minat dan pelajar yang begitu menekuni bidang tersebut.

Ramai yang menganggap karya-karya beliau sebagai puisi sufi. Namun beliau tidak pernah mengaggap puisinya sebagai puisi sufi. Hal ini kerana, beliau hanya peminat dan penganut Islam yang ingin mengikut jalan kebenaran. Disebabkan minat yang mendalam tersebut menyebabkan beliau menulis puisi-puisi keislaman. Beliau begitu mendalami tulisan Shah Walilullah al-Dehlawi, Syed Hussein Nasr, Fazlur Rahman, Ali Shariati, Syed Naquib Al-Attas, Abdullah Mohamed Nakula dan karya-karya yang seumpama itu. Beliau seorang peminat kesusasteraan dan keilmuan tentang Islam.

PROSES PENGHASILAN PUISI

Bagi Rahimidin Zahari proses penghasilan puisi bagi setiap penyair adalah berbeza. Beliau mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan puisi. Beliau hanya perlu membaca dan membaca dan apabila sesuatu peristiwa tersebut memberi kesan dan tersentuh, maka ia akan dipindahkan perlahan-lahan ke dalam baris dan rangkap.

Beliau akan menulis apa yang ingin ditulis dan sesuatu yang dekat dengannya. Beliau hanya akan menulis apabila ada "sesuatu" yang menyentuh beliau dan selebihnya adalah dari pembacaan beliau sendiri. Daripada proses demi proses membaca itulah terciptanya puisi beliau.

TENTANG PUISI-PUISI SUFI

Penyair Rahimidin Zahari beranggapan  puisinya bukan dalam kategori sufi, namun begitu karya Hamzah Fansuri boleh dikategori dalam puisi sufi. Beliau lebih suka istilah puisi kerohanian. Baginya itu lebih tepat dan bersesuaian. Hal ini kerana terdapat banyak contoh dan penghasilannya terus berkembang. Suhaimi Haji Muhammad, Abdulhadi Muhamad, Hadzrami AR, Moechrat Awang, Wan A. Rafar antara penyair Malaysia yang sarat dengan nilai-nilai kerohanian. Suasana dan perkembagan yang sama juga berlaku di Indonesia, Singapura dan selatan Thailand.

Secara peribadinya, Rahimidin Zahari menyatakan penulis puisi, bukannya sarjana yang mengkaji puisi.Beliau mengaggap dirinya masih dalam perjalanan untuk mencari cinta-Nya yang sejati dan masih berasa kerdil dalam dunia yang beliau masuki sekarang. Beliau berasa masih belum mampu untuk dilabelkan sebagai ahli puisi sufi.



No comments:

Post a Comment