Tuesday 15 December 2015

Paya Purnama Karya S.M Zakir




Sinopsis cerita Paya Purnama karya S.M Zakir

Cerita Paya Purnama menceritakan tentang watak “dia” iaitu penulis sendiri yang mengimbas kembali nostalgia lama yang telah dilaluinya semasa zaman kanak-kanak. Penulis mengemukakan dunia nostalgia yang menjadi tempat penting dalam sejarah hidupnya masa kecil. Di sebuah paya yang mempunyai mitos terdapatnya perahu Puteri Sadong itu merupakan dunia yang indah dan bermakna bagi dia. Di paya itu juga tempat dia dan dua orang sahabat karibnya iaitu Soh Chan Heng dan Hakim menempa zaman kanak-kanak yang bahagia. Baginya suasana paya yang sunyi, dipenuhi tumbuhan dan haiwan menciptakan sebuah suasana yang mengasyikkan. Selain itu, di paya itu juga tempat mereka menagkap ikan Sepilai untuk dilagakan. Dia selalu singgah ke paya itu apabila pulang dari sekolah. Dia merupakan yang paling nakal antara mereka bertiga. Dia suka membuli Hakim dan berlaku kasar terhadapnya. Namun, walaupun dia nakal dan kasar dalam perlakuan tetapi dia sebenarnya mempunyai hati yang baik. Contohnya, dia melawat Hakim yang sedang sakit. Mereka mampu membina persahabatan yang erat sehingga saling memahami antara satu sama lain dalam usia yang masih muda. Walau bagaimanapun, persahabatan mereka tidak kekal lama, kerana semasa di penghujung tahun tiga, dia terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke Pulau Pinang dan meninggalkan paya yang menjadi dunianya serta dua orang sahabat baiknya. Selepas itu mereka tidak pernah bertemu lagi. Setelah tiga puluh tahun, dia datang ke dunia paya iaitu tempat dia mengukir seribu kenangan indah. Rupanya dunia paya sudah tertimbus. Tertimbus bersama-sama sejarah yang cukup aneh. Dia tidak singgah ke rumah Hakim mahupun kedai ayah Soh Chan Heng. Dia mahukan persahabatan yang aneh itu kekal tetapi anehnya persahabatan itu tidak mewujudkan keinginan untuk bertemu. Benarkah dia pernah mempunyai sahabat semasa kecil yang bernama Soh Chan Heng dan Nik Danial Hakim ? Dia juga tidak pasti kerana ingatan di usianya yang terlalu muda itu samar-samar. Mungkin dia hanya mereka-reka cerita sepertimana yang selalu dilakukannya apabila menulis cerpen. Namun, hal yang paling diingatinya ialah lagu perpisahan yang dinyanyikan secara beramai-ramai.


Bagaimana cerpen Paya Purnama dihasilkan? Cerita dari Lubang Ingatan hasil tulisan S.M Zakir ada jawapannya. Saya akan cuba membincangkan tentang bagaimana penulis menghasilkan cerita Paya Purnama secara lebih terperinci berdasarkan Cerita dari Lubang Ingatan. Cerita dari Lubang Ingatan memperkatakan tentang pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh watak “dia” iaitu S.M Zakir sendiri selaku penulis dalam cerpen Paya Purnama. Melalui pengalaman masa lampau atau pengalaman pada zaman kanak-kanak S.M Zakir yang samar-samar, beliau telah menghasilkan cerita yang mampu mencuit hati setiap pembaca yang membacanya. Walaupun peristiwa yang diceritakan oleh penulis tidak dapat dipastikan dengan tepat secara keseluruhannya, namun penceritaannya sangat berkesan dan menarik.

Cerita dari Lubang Ingatan berdasarkan cerpen Paya Purnama karya S.M Zakir:
S.M Zakir telah dilahirkan di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, Kelantan. Allahyarham ayahnya bekerja sebagai seorang guru. Memori zaman kanak-kanak beliau yang paling awal mungkin bermula di Kota Bharu kerana sewaktu beliau kecil mereka sekeluarga tingal di kuarters guru di Sekolah Merbau ketika berusia lima tahun atau enam tahun. Menurut Carl Gustav Jung, memori zaman kanak-kanak ketika berusia lima tahun disebut sebagai lubang ingatan iaitu kejadian-kejadian zaman infantik yang samar-samar dalam ingatan. Zaman infantik merupakan suatu bentuk psikiprimitif yang hilang daripada diri manusia. Ia kemudiannya akan muncul sebagai mimpi dalam bentuk kepingan-kepingan mitologi yang aneh. Walau bagaimanapun, mungkin zaman infantik yang dimaksudkan oleh Jung ialah zaman yang lebih awal dalam peringkat paling awal usia manusia. Maka sebenarnya tiada memori di situ kecuali psiki yang wujud dalam aliran bawah sedar.
            S.M Zakir telah memasuki alam persekolahan pada tahun 1976 di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Putera. Pada ketika itu usianya tujuh tahun. Oleh itu, hasil tulisan cerpen Paya Purnama ialah untuk menimba kembali kenangan-kenangan indah dunia kanak-kanak beliau. Antara kenangan beliau itu ialah termasuklah apabila bersama dua orang sahabat yang seusia dengannya, S.M Zakir bergayut pada kayu beluti yang menjadi tiang penggalas bangunan lalu menimpa kepalanya. Setelah itu, mereka sekeluarga berpindah ke sebuah rumah baharu di kawasan Paya Purnama. Paya itu akan menjadi terang setiap bulan purnama.
Selain itu, kenangan lain yang beliau ingat ialah apabila beliau merasa pasir jatuh berguguran dari pokok rambai yang besar di hujung pagar rumahnya yang berhampiran dengan paya. Walaupun pada zaman kanak-kanak beliau ditakutkan denan cerita-cerita hantu masyarakat Kelantan tetapi S.M Zakir tidak pernah mempercayainya. Kenangan di dunia paya yang menyoronokkan bagi S.M Zakir ialah apabila bermain di paya, mencuri-curi turun mereda semak dan bermain berseorangan di paya tersebut. Beliau tidak takut pacat dan lintah. Kenakalannya terserlah apabila beliau membakar mercun yang disuap dalam mulut katak sehingga meletupkan perutnya dan mengikat mercun di kaki kucing sehingga kucing melompat menggila dan membaling batu kepada anak anjing yang tersekat di lubang.
Dunia paya sangat istimewa bagi S.M Zakir. Ia bagaikan sebuah dunia yang terpisah daripada dunia sebenar di rumah dan kota saya. Suasana yang sunyi , dipenuhi tumbuhan dan haiwan menciptakan sebuah suasana yang mengasyikkan bagi S.M Zakir. Di paya itu, beliau akan melagakan ikan-ikan sepilai dan ikan pelaga, memanjat pokok dan dahan yang berjuntai sehingga ke tengah paya, melihat kiambang, kangkung, ikan-ikan malah ular yang ada di tengah-tengah paya. Ia juga menceritakan kedegilannya apabila setiap kali pulang dari sekolah dia akan melalui jalan paya dan tidak mengikuti kakak-kakak dan abangnya. Kedegilannya akan membuatkan adik-beradiknya dimarahi oleh ibu mereka.
Di sekolah pula S.M Zakir tidak mempunyai teman yang ramai dan lebih suka bersendirian. Walau bagaimanapun, akhirnya selama pulang berjalan kaki dari sekolah, beliau menjadi rapat dengan dua orang rakan sekelas yang sama-sama pulang berjalan kaki ke arah yang sama dari sekolah. Mereka ialah Soh Chan Heng dan Nik Danial Hakim. Persahabatan mereka aneh kerana walaupun S.M Zakir seorang yang agak kasar dalam perlakuannya tetapi Soh Chan Heng dan Hakim tetap ingin berkawan dengannya. Beliau selalu membuli dua orang sahabatnya itu atau menjadikan mereka adikung yang mengikut semua kehendaknya. Apabila Hakim merajuk, S.M Zakir akan segera mencari jalan untuk memujuknya, beliau akan meminta maaf  atau kadang-kadang juga tidak tetapi persahabatn itu bertaut kembali. Apabila salah seorang dari sahabatnya tidak ke sekolah, beliau akan berasa sunyi. Contohnya peristiwa semasa S.M Zakir tidak ke sekolah dan Hakim mencarinya dan begitu juga sebaliknya.
S.M Zakir sering mengajak dua orang sahabatnya itu untuk ke paya namun hanya Soh Chan Heng yang kadang-kadang mengikuti beliau kerana ayahnya akan memastikan Soh Chan akan balik segera dari sekolah untuk membantu di kedai mereka. Kalau pun Hakim pergi ke kawasan paya itu, dia hanya akan duduk di tepi paya sambil menunggu S.M Zakir siap bermain atau menyelongkar dunia paya yang digemari olehnya. Hakim seorang budak yang baik dan pembersih. Oleh sebab itu, dia jarang bermain di paya tersebut malah tidak akan melalui jalan paya sekiranya tidak dipaksa oleh S.M Zakir.
Setelah tiga puluh tahun berlalu, S.M Zakir menulis sebuah cerpen yang berjudul        “ Paya Purnama”. Beliau menghasilkan cerpen ini melalui lubnag ingatan di dunia paya. Selain itu, Paya Purnama juga adalah tentang cerpen alam persekolahan beliau dalam darjah satu di Sekolah Tengku Indera Putera bersama dua orang rakannya, Nik Danial Hakim dan Soh Chan Heng. Kedua-dua sahabat ini terputus hubungan setelah beliau meninggalkan tanah Kelantan ketika di penghujung darjah tiga dan tidak kembali lagi untuk menetap di situ. S.M Zakir meninggalkan Kelantan pada usia Sembilan tahun iaitu ketika berakhirnya usianya di darjah tiga. Hari terakhir persekolahan sebelum bercuti panjang, lagu “Bertemu dan Berpisah” dinyanyikan. Hati beliau sebak ketika menyanyikan lagu tersebut. 
S.M Zakir membesar di Pulau Pinang dan kemudiannya ke Selangor dan berkampung halaman di Bandar Baru Bangi. Setelah itu, beliau tidak pernah lagi bertemu dan mendengar khabar tentang dua orang rakannya itu. S.M Zakir menulis cerpen Paya Purnama dan membayangkan apakah kedua-dua orang ini benar-benar wujud atau cuma ilusi dari zaman kanak-kanak yang tercipta dalam jiwa bawah sedarnya. Beliau menikmati kenangan manis yang samar.
Cerpen Paya Purnama adalah sebuah dunia utopia yang datang dari lubnag ingatan. Ia wujud dalam kolaj-kolaj ilusi dan realiti yang bergaul. Selain itu, beliau melihat kepingan-kepingan metodologi  Jung dari lubang ingatan zaman kanak-kanak yang muncul menjadi mimpi-mimpi dalam dunia bawah sedar beliau. Maka S.M Zakir telah meletakkan tanda tanya sama ada Nik Danial Hakim dan Soh Chan Heng itu watak yang benar-benar wujud atau sebuah ilusi yang datang dari lubnag ingatannya. Oleh itu, S.M Zakir menyimpulkan bahawa cerpen “Paya Purnama” ialah kehidupan hanyalah sebuah mimpi. Apa yang pasti, cerita “Paya Purnama” datang dari lubang ingatan zaman kanak-kanak yang paling primitif.

No comments:

Post a Comment